Khamis, 20 Mei 2010

Surah Al-Kaafirun

بسم الله الرحمن الرحيم

Surah Al-Kaafirun



MUQADDIMAH



Surah Al-Kaafirun mengandungi 6ayat dan ia merupakan salah satu surah dari surah-surah Makiyah.

Pada zaman ketika awal penyebaran islam di Makkah, terjadilah satu perbalahan diantara sekelompok orang musyrikin (iaitu Al-Walid bin Al-Mughirah, Al-`Aas bin Al-Wa`il, Aswad bin Al-Muthalib, dan juga Umaiyah bin Khalaf) yang mana mereka telah memberi cadangan jahat kepada Rasulullah s.a.w supaya baginda mengikut agama mereka menyembah berhala selama setahun, dan pada tahun berikutnya mereka pula menyembah Allah dan mengikut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. , kemudian tukar semula secara bergilir-gilir selang setahun, sebagai kononnya bagi mendamaikan perbalahan yang mereka hadapi.

Rasulullah s.a.w kemudiannya diam tanpa sebarang jawapan sehinggalah Allah s.w.t menurunkan Surah ini bagi membalas cadangan jahat mereka itu.



TAFSIR

1) Wahai Muhammad, katakanlah kepada mereka yang memberikan cadangan kotor itu: Hai orang-orang kafir yang kufur pada wahyu yang diturunkan Allah, ingkar beribadah padaNya, dan menyekutukan Tuhan yang Esa dengan patung-patung dan berhala!



2) Sekarang ini aku tidak akan menyembah sembahan yang sesat dan apa saja yang kalian sembah sepertimana yang kalian cadangkan.

3) Dan pada sekarang ini juga kalian tidak akan menyembah apa yang aku sembah sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah keatas kalian.

4) Malah pada masa akan datang dan selamanya Aku tidak akan menyembah tuhan yang sesat yang kalian sembah itu.

5) Dan kalian juga tidak akan menyembah Tuhan yang aku sembah ini pada masa akan datang dan selama-lamanya , kerana Tuhanku (Allah) telah menghukumkan ke atas kamu semua dengan kematian di dalam keadaan kufur dan syirik sehingga kamu semua dicampakkan ke dalam neraka dek perbuatan kamu yang menyeleweng, dan hati kamu yang busuk itu.

6) Kalian memiliki agama kalian yang sesat itu dan aku tidak akan mengikutinya, dan Aku mempunyai agamaku yang mana tidak akan diikuti oleh kalian selama-lamanya.



PENUTUP

Dengan itu Allah menyuruh RasulNya memberhentikan pengharapan kepada mereka untuk beriman dan memeluk islam, dan mereka juga berputus asa untuk menghasut baginda supaya mengikut cadangan mereka yang jahat itu. Dan Allah telah menutup pintu hati kesemua mereka, ada yang mati di dalam kafir ketika peperangan Badar dan ada yang mati di makkah dalam keaddan syirik dan kafir sepertimana benarnya kata-kata Allah bahawa mereka tidak akan beriman dengan Islam, dan akan dihumban ke dalam api neraka yang sangat pedih siksanya tanpa sebarang rahmat dari Allah. Na`uzubillahi min zalik.





Wallahu a’lam bissawab

Jumaat, 30 April 2010

al maun


بسم الله الرحمن الرحيم 
  Surah Al-Ma`un 
MUQADDIMAH
Surah Al-Ma`un mengandungi 7 ayat dan ia merupakan surah Makiyah dan Madaniyah. Ini kerana sebahagian tiga ayat awalnya diturunkan di Makkah untuk orang kafir Makkah (iaitu Al-`Aas bin Wa`il, Alwalid bin Al-mughirah, dan sebilangan orang kafir Quraish yang berkeras dengan kekufuran mereka). Manakala empat ayat terakhir pula di turunkan di Madinah kepada golongan orang-orang munafiq.

TAFSIR
(Tiga ayat pertama yang ditujukan kepada kafir Makkah bagi mencela perbuatan mereka)
1) Allah berfirman, wahai Muhammad s.a.w, adakah engkau melihat orang-orang yang mendustakan agama? Mereka tidak beriman bahawa wujudnya hari pembalasan iaitu balasan bagi berbuat pahala dan ganjarannya, juga tidak percaya kepada balasan dosa dan azabnya.

2) Itulah mereka yang tidak membantu dan tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada anak-anak yatim, bahkan menindas mereka dan menjijik-jijikkan mereka.
3) Mereka juga tidak menyegerakan dan tidak menggalakkan diri mereka serta orang lain untuk memberi makan ataupun membantu golongan faqir dan miskin.
Mereka itu berbuat demikian kerana mereka tidak percaya bahawa wujudnya hari perhitungan dan pembalasan di hari akhirat. Mereka tidak percaya bahawa wujudnya syurga dan neraka. Maka sifat ini lah yang membuatkan mereka zalim, tiada sifat penyayang dan kasihan kepada orang yang susah.
(Empat ayat terakhir untuk orang-orang yang munafiq)
4) Dan Allah telah menjanjikan sesuatu yang dahsyat iaitu neraka Wail. Ia adalah salah satu jurang didalam neraka, yang mana penuh dengan simbahan curahan dan cucuran nanah dan lendir ahli neraka. Azabnya sungguh menyiksakan, dimana mereka dicelupkan kedalam nanah itu, dan di berikan minum dan makan dari nanah itu juga (nauzubillahi min zalik). Neraka Wail ini disediakan untuk orang yang melakukan solat,TETAPI…
5) Tetapi mereka itu lalai didalam solat mereka, malah tidak mengingati waktu solat mereka serta banyak waktunya mereka terlepas dari solat (tidak mengerjakannya). Dan banyak halnya mereka ini tidak mengerjakan solat melainkan setelah hampir habisnya waktu solat itu (melewat-lewatkan solat).
6)Mereka juga menunjuk-nunjuk dan riak dalam solat mereka serta amalan lainnya. Iaitu mereka melakukan solat dan amalan lain adalah untuk menampakkan bahawa mereka itu kononnya seorang yang beriman, alim, serta soleh.
7) Mereka juga orang yang tidak memberikan pertolongan walaupun pertolongan yang kecil. Iaitu sekiranya datang kepada mereka saudara seislam yang berhajat kepada apa-apa pertolongan sekalipun pertolongan itu kecil dan remeh contohnya ingin meminjam periuk, panyapu, jarum jahit,  atau apa-apa perkakas rumah yang lain, mereka akan memberikan alasan bodoh yang tidak munasabah semata-mata bagi mengelak dari memberikan pertolongan itu.

PENUTUP
Sebagai seorang muslim dan mukmin, kita wajib beriman dan percaya bahawa setiap amalan kita akan dikira baik dan buruknya. Kita juga mesti mengasihani dan membantu anak-anak yatim, faqir miskin, dan orang-orang yang memerlukan pertolongan sekiranya kita berupaya membantu mereka. Ini kerana didalam hadith Nabi Muhammad s.a.w bersabda mafhumnya: “brangsiapa yang tidak mengambil berat tentang hal-hal orang muslimin, maka dia bukanlah dari kalangan mereka (orang muslimin itu).
Selait itu Solat merupakan perkara yang amat berat yang perlu di berikan perhatian sepenuhnya. Kita wajib memelihara solat kita, menjaga waktunya, menjaga niat hanya kerana Allah ketika mengerjakannya, juga amalan-amalan yang lain wajiblah dilakukan hanya kerana Allah, tuhan pencipta segala apa yang ada. Ini adalah bagi mengelakkan diri kita dari tergolong dalam golongan yang dimurkai Allah, yang akan dicampakkan ke dalam neraka Wail di akhirat sana. Na`uzubillahi min zalik.

Wallahu a’lam bissawab.

Khamis, 18 Mac 2010

Surah An Nashr

بسم الله الرحمن الرحيم
An-Nasr 
MUQADDIMAH
Surah Madaniyah ini mengandungi 3 ayat. An-Nasr bererti kemenangan, iaitu kemenangan yang dikurniakan Allah kepada nabiNya Muhammad s.a.w.  Dan ia diturunkan pada hari – hari akhir hayat Rasulullah s.a.w. Ia juga membawa alamat bahawa semakin hampirnya Nabi Muhammad s.a.w. kepada ajal baginda. Didalam Sahih Muslim, Abu Abbas meriwayatkan bahawa surah ini adalah surah terakhir yg turun dalam bentuk surah sekaligus (bukan dlm bentuk ayat demi ayat).

TAFSIR
1) Apabila telah datangnya untukmu ya Rasulullah s.a.w, kemenangan ke atas musuh-musuhmu di dalam setiap peperangan yang dihadapi olehmu, dan telah dibukakan Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah) oleh Allah kepadamu yang jadinya kota itu Darussalam (kota yang aman dan selamat dengan agama islam), yang mana sebelumnya adalah Darulkuffar (kota yg di jajahi dengan kekufuran).
2) Dan kamu melihat manusia (pada masa itu termasuk kaum-kaum dari Yaman dan negeri sekeliling Makkah) memeluk agama Islam secara beramai-ramai, kumpulan demi kumpulan, yang mana dahulunya memeluk Islam secara individu kerana takut, dan kamu melihat kejadian ini.
3) Maka bertasbih lah dengan memuji kesucian Tuhanmu (Allah) dan panjatkan kesyukuran kepadaNya di atas nikmat kemenangan, pembukaan kota, dan masuknya orang ramai kedalam agama Islam dan terhentinya agama kufur yang sesat, dan pohonlah dariNya keampunan supaya dileraikan dosa-dosa dari kamu dan dilengkapkan segala amalan kamu oleh Allah s.w.t, dan sesungguhnya Allah ta’ala yang memerintahkan kamu supaya memohon keampunan dariNya itu adalah maha pengampun, penyuci segala dosa, dan maha merahmati ke atas hamba-hambaNya.

PENUTUP
Sebagai hamba Allah, kita WAJIB sentiasa memanjatkan kesyukuran diatas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita tidak kira apa nikmat sekalipun, biarpun nikmat yang dirasakan besar, mahupun sekecil-kecil nikmat. Kita juga WAJIB sentiasa memohon keampunan kepada Allah, kerana kadang kala ada dosa yang dilakukan tanpa kita sedari. Dan kita juga WAJIB sentiasa memuji keagungan Allah yang maha pemurah melimpahkan rezekiNya kepada kita tanpa putus-putus, membantu kita di dalam menghadapi urusan dunia ini, dan Maha mengampuni dosa-dosa yang kita lakukan.

Wallahu a’lam bissawab..

Ahad, 14 Mac 2010

Surah al Masad

بسم الله الرحمن الرحيم
Al-Masad
MUQADDIMAH

Surah Al-masad adalah surah Makiyah, yang mengandungi 5ayat. Surah ini dinamakan Al-Masad yang bermakna  serat / sabut, yang terdapat pada akhir ayat dalam surah ini. Nama lain bagi surah ini juga adalah surah Tabbat (celaka).
Allah menurunkan surah ini adalah bagi membalas celaan Abu Lahab, bapa saudara baginda Muhammad s.a.w keatas baginda.
Ketika Nabi Muhammad diperintahkan oleh Allah untuk menyebarkan islam dan memberi peringatan kepada sahabat dan keluarga terdekat, baginda berdiri di atas bukit Safaa dan memerintahkan agar semua berkumpul. Setelah semua berkumpul, nabi berkata: “sesungguhnya aku menyampaikan kepada kamu amaran, di hadapan kalian ternanti azab yang sangat pedih. Katakanlah sesungguhnya tiada tuhan selain Allah… …”
Lalu bangun Abu Lahab dan berkata “adakah ini sebabnya kau kumpulkan kami semua? Celakalah engkau sepanjang hari”. Maka Allah menurunkan surah ini bagi membalas celaannya tadi.

TAFSIR
1) Celakalah iaitu rugi dan binasalah Abu Lahab dan binasalah segala apa yang dimiliki olehnya, dan Allah menegaskan lagi kecelakaan dan kebinasaan ke atas Abu Lahab dgn ulangan kalimah ‘وتبّ’ pada hujung ayat pertama ini.

2) Setelah Allah membinasakan dia dgn penyakit ngeri di dunia, Allah campakkan Abu Lahab ke dalam api neraka pula, yang mana di dalam neraka itu tidaklah bermanfaat apa yang dimiliki olehnya dari segala harta dan anak-anaknya yang tidak dapat mempertahankan Abu Lahab daripada azab Allah.
3) Maka ia di bakar dengan api neraka yang marak menyala, sehingga ia merasa kepanasan yang dahsyat dan jilatan api itu menghanguskan.
4) Dan bagi isterinya Ummu Jamil, yang telah meletakkan duri-duri pada jalan Nabi s.a.w ketika perginya baginda menunaikan solat subuh di Masjid, dan mengulang2 perbuatan itu untuk menyakiti baginda s.a.w. (ada yang mentafsir ‘حمالة ٱلحطَب’ sebagai pembawa kayu api, yakni kiasan bagi penyabar fitnah, yang mana Ummu Jamil selalu menyebar-nyebarkan fitnah bagi memburukkan Nabi Muhammad s.a.w. Wallahu a’lam)
5) Baginya siksaan dengan lilitan sabut /sarat yang dibuat dari api neraka yang di lilit-lilit pada lehernya.

TAULADAN

Allah telah membinasakan dan mematikan Abu Lahab dengan sejenis penyakit yang berbahaya, di mana penyakit ini amat ditakuti oleh kaum arab pada zaman itu seperti takutnya kepada wabak taun.  Kerana takut akan penyakit itu, Abu Lahab mati dalam keadaan terbiar dan tidak terurus mayatnya selama 3hari menyebabkan mayatnya reput dan berbau busuk.  Hinggakan anaknya sendiri hanya menyimbah air sekadar dari jauh bagi memandikan mayatnya itu, akibat takut dijangkiti.
Setelah di azab dgn penyakit di dunia, Allah mengazab pula Abu Lahab di akhirat dengan api neraka yang sangatlah dahsyat. Inilah pembalasan Allah kepada musuhNya dan musuh nabiNya. Balasan Allah tidak mengenal siapakah atau sehebat manakah individu itu, kerana bapa saudara nabi sendiri di azab Allah akibat kekufurannya.
Sekiranya Allah memurka seseorang, harta, anak-anak, kemewahan, pangkat, kuasa, dan apa saja yang dimilikinya di dunia ini tidak dapat menghalang atau menahan seseorang dari di azab di akhirat nanti. Na`uzubillahi min zalik.. Ya Allah Jauhkan dan hindarkanlah kami dari azab nerakaMu yang sangat pedih.. Ameen..

Wallahu a’lam.

Isnin, 8 Mac 2010

Surah Annas


بسم الله الرحمن الرحيم

Surah An-Naas

MUQADDIMAH

Surah ini (pun ana xpasti Makiyah atau Madaniyah. Sebab setahu ana, surah An-Naas Makiyah, tapi dalam kitab ni tulis Madaniyah. Dan rujuk beberapa Quran, ada kata makiyah, dan ada kata Madaniyah. Wallahu a’lam) Mengandungi 6ayat dan ia adalah surah pelindung yang ke dua selepas surah Al-Falaq.

Di dalam surah Al-Falaq ia melengkapkan 4 perkara bg memohon perlindungan iaitu;

a) Dari kejahatan semua makhluq

b) Dari kejahatan yang berlaku apabila gelapnya hari (malam)

c) Dari kejahatan tukang sihir yang melakukan kerja sihirnya

d) Dari kejahatan orang yang berhasad dengki, sekiranya dia berdengki.

Kesemua 4 sifat dalam surah Al-Falaq ini (untuk tafsiran lanjut, sila rujuk tafsir surah Al-Falaq) adalah perlindungan daripada pekara-perkara yang memudharatkan dan menyakiti (luaran fizikal).

Manakala dalam surah An-Naas pula ia adalah permohonan seorang hamba kepada Tuhannya supaya dilindung dari bahaya yang lebih merbahaya dari 4 perkara tadi, iaitu berkaitan dengan hati. Ini kerana sekira rosaknya hati maka rosaklah segala-galanya. Dan jika baiknya hati maka baiklah segala-galanya. Oleh itu surah An-Naas ini adalah khusus untuk perlindungan daripada kejahatan-kejahatan yg wujud dalam hati.

TAFSIR

1) Allah s.w.t memerintahkan Rasulnya s.a.w dan umat baginda (kita semua) supaya memohon diperkuatkan dan dilindungi, hanya kepada Tuhan sekalian manusia iaitu Pencipta manusia dan Raja bagi segala raja (Allah s.w.t ).

2) Dialah Tuhan, Raja, dan Hakim kepada manusia.

3) Dialah sembahan semua manusia yang satu-satunya dan tiada yang setanding dengannya yang layak disembah.

4) Minta dilindungi daripada kejahatan pembisik dan penghasut (syaitan) yang tersembunyi dan melalui hati manusia ketika mengingati Allah.

5) yang sentiasa membisikan hasutan didalam diri manusia, dan ia adalah suara yang sangat halus yang timbul dan tenggelam dan tidak dapat didengar ketika ia melemparkan hasutan kedalam dada manusia.

6) yang terdiri dari syaitan jin dan syaitan manusia.

Di dalam surah ini Allah memerintahkan manusia supaya memohon perlindungan hanya kepadaNya agar dilindung daripada penghasut atau pembisik iaitu syaitan. Syaitan sentiasa membisik dan melemparkan hasutan kedalam hati manusia, yang mana ia menakut-nakutkan, juga berupa syak wasangka yang buruk, atau mencantik-cantikkan perkara yang buruk, atau memburuk-burukkan perkara yang bagus. Syaitan selalunya akan menghasut manusia ketika mana mereka lupa pada Pencipta mereka. Dalam ayat ke 4, Allah menyebut “الخناس” yang bermakna yang timbul dan tenggelam. Ini adalah sifat bagi syaitan dari golongan jin yang akan tenggelam ataupun ghaib ketika manusia mengingati Allah, dan akan timbul ataupun datang semula berbisik ketika manusia lalai dan leka.

Selain itu terdapat juga syaitan dari golongan manusia sendiri. Mereka adalah golongan manusia yang bertindak seperti syaitan jin, yang melemparkan fitnah, yang menghasut manusia kepada kejahatan, mencampur adukkan perkara yang penting dengan yang merbahaya (dalam aqidah), yang menyebarkan kata-kata berbaur penyelewengan, dan juga setiap hasutan yang membawa kemudharatan dan kesesatan. Dikatakan bahawa kejahatan hasutan syaitan golongan manusia keatas manusia adalah lebih berbahaya dari hasutan syaitan berbentuk jin keatas manusia. Ini kerana syaitan dari golongan jin akan terlucut dari hati manusia dengan isti’azah dan seumpamanya, manakala syaitan dari golongan manusia tidak terlucut dengan itu.

Oleh itu, marilah sama-sama kita memohon dari Allah Raja dan Pencipta sekalian alam, agar dilindungi, dikuatkan dan dijauhkan daripada kejahatan bisikan-bisikan dan hasutan-hasutan syaitan dari golongan jin dan manusia.


Wallahu a’lam.

Rabu, 24 Februari 2010

al Falaq

بسم الله الرحمن الرحيم
Al-Falaq
MUQADDIMAH
Surah Al-Falaq adalah surah Madaniyah (Ana agak kurang pasti surah ini Makiyah atau Madaniyah sebab dalam kitab tafsir kata Madaniyah, tapi beberapa mushaf kata Makiyah. Dan ada juga mushaf yang Madaniyah. Wallahu a’lam). Ia mengandungi 5ayat, dan ia adalah surah yang pertama dalam dua surah pelindung, yang mana surah keduanya adalah surah An-Naas.

TAFSIR
1) Katakanlah wahai Muhammad s.a.w sesungguhnya aku memohon kekuatan dan perlindungan kepada Tuhan yang menguasai pagi iaitu Allah s.w.t  yang memagikan (memulakan pagi hari dengan) cinta dan intinya, yang mana tidak ada sesiapa pun yang mampu berbuat demikian melainkan Dia dengan keagungan kuasaNya dan kelausan pengetahuanNya.
2) Daripada kejahatan semua makhluq yang terdiri daripada manusia (dalam tafsir ini ditulis ‘haiwan yang mempunyai tanggung-jawab’), binatang (haiwan yang tidak mempunyai tanggung-jawab), dan juga segala objek dan benda-benda yang diciptakan Allah.
3) Dan juga dari kejahatan malam sekiranya datangnya gelap gelita dan juga bulan sekiranya ia hilang dan pergi dengan cahayanya, maka ia menjadi tanda kepada keluarnya ular-ular yang berbisa, binatang-binatang pemangsa, kelompok2 perompak dan mencuri, dan golongan-golongan yg melakukan kejahatan dan penyelewengan.

4) Dan aku berlindung kepada Allah dari kejahatan tukang-tukang sihir (didalam ayat ini mereka adalah tukang sihir perempuan) yang mengeluarkan angin dari mulut mereka (menghembus)  pada setiap ikatan dan simpulan sihir mereka dengan jampi-jampi.

5) Dan aku memohon kepada tuhan yang menguasai pagi agar dilindung daripada kejahatan orang-orang yang berhasad dengki yang menginginkan kemudharatan dan kejahatan atau yang meminta ditimpakan kecelakaan keatasku dengan kedengkiannya, kerana orang yang berhasad dengki akan meminta supaya dihilangkan nikmat dan diberikan kejahatan kepada orang yang dihasadinya.


TAULADAN
Diriwayatkan bahawa surah Al-Falaq ini diturunkan kerana suatu hari Nabi Muhammad s.a.w telah disihir oleh seorang yahudi bernama Labid bin Ma’sham di Madinah. Maka Allah menurunkan dua surah pelindung ini (Al-Falaq dan An-Naas), maka Malaikat Jibril telah berjampi dengannya, dan dengan izin Allah sembuhlah Nabi s.a.w dari sihir. Jadi perbanyakkan membaca surah ini, semoga Allah melindungi kita dari segala jenis kejahatan.

Wallahu a’lam..

Isnin, 22 Februari 2010

بسم الله الرحمن الرحيم


Al-Ikhlas


MUQADDIMAH


Surah Al-Ikhlas adalah surah Makiyah, dan ia mengandungi 4ayat. Surah ini menegaskan tentang keEsaan Allah s.w.t dan tiada suatupun yang setanding denganNya.


TAFSIR

1) Allah berfirman kepada nabi Muhammad s.a.w bahawa katakanlah kepada sesiapa yang bertanya kepadamu mengenai tuhan kamu, maka Dialah Allah tuhan yang maha Esa.

2) Tidak sepatutnya di abdikan diri melainkan hanya kepada Allah, Dialah tuhan tempat manusia bergantung dan meminta segala hajat dan keperluan yang berterusan (sampai bila-bila).

3) Dia tidak akan pupus, yakni Dia tidak melahirkan apa-apa malah Dialah yang mematikan setiap suatu yang akan punah dengan pastinya. Dia juga bukanlah menjadi ada dengan kejadian (atau kelahiran), yakni bukanlah Dia dari suatu yg tiada kepada ada, tetapi Dia dari awalnya memang Wujud dan akan kekal selama-lamanya.

4) Dan tidak ada satu pun yang serupa denganNya atau yang sepertiNya, yakni Dialah Allah yang Maha Esa dan tidak ada apa pun yang sama denganNya.

Allah menurunkan Surah barakah yang mempunyai 4ayat ini sebagai jawapan daripada soalan yang ditanya oleh kaum musyrikin kepada nabi Muhammad s.a.w mengenai tuhanmu, maka katakanlah kepada mereka bahawa Allah itu adalah tuhan yang tidak layak selainnya untuk dituhankan melainakan Dia, tuhan yang Satu dan Esa pada sifatnya, zatnya dan perbuatannya dan tidak ada yang sama dengannya didalam sifat, zat dan perbuatan. Dialah pencipta segala-galanya, dan memiliki seluruh semuanya, dan tidak ada makhluk yang berupaya mencipta sesuatu yg setanding ciptaanNya.


KELEBIHAN

Antara kelebihan bagi sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas ini adalah membaca 1 surah ini bersamaan dengan 1/3 al-Quran. Yakni pahala membaca 1 surah Al-ikhlas bersamaan dgn pahala membaca 1/3 alquran. Sebagaimana didalam hadith baginda s.a.w yang mafhumnya:

[Rasulullah s.a.w. bersabda kepada sahabat-sahabatnya: “Apakah seseorang di antara kamu semua akan merasa lemah (tidak kuat) untuk membaca sepertiga al-Quran dalam satu malam?”

Tentu saja hal itu dirasakan berat oleh sahabat dan mereka berkata: “Siapakah di antara kita semua yang kuat melakukan itu, ya Rasulullah?”

Kemudian baginda s.a.w. menjawab: “قل هو الله احد. الله الصمد adalah sepertiga al-Quran”]





Wallahu a’lam bissawab.

Isnin, 15 Februari 2010

Tafsir al Fatihah

بسم الله الرحمن الرحيم 
Surah Al-Faatihah


MUQADDIMAH

Surah Makiyah ini dinamakan Al-Faatihah yang bermakna pembuka bagi permulaan Al-Quran. Ia mempunyai beberapa nama lain seperti Ummul Quran, Ummul Kitab, dan As-Solah.  Surah ini mengandungi 7ayat dimulai dengan “بسم الله الرحمن الرحيم” sehingga habis.

Al-ISTI`AZAH

 Isti`azzah adalah lafaz “أعوذ بالله من الشيطان الرجيم” Yang membawa makna permintaan seorang hamba kepada Rabbnya supaya dilindungi dari segala cubaan dan diberi kekuatan dalam menghadapi hasutan dan bisikan syaitan yang di rejam, dan supaya dilindungi dari sebarang ketewasan dan ketidak tenangan. Hukum bacaan isti`azah adah sunat kepada sesiapa yg ingin membaca mana-mana ayat dari ayat Al-Quran ataupun surahnya. Ia juga diperlukan bagi org yang sedang marah, ataupun terlintas di fikirannya kejahatan supaya dilindungi.

BASMALAH
Basmalah adalah lafaz “بسم الله الرحمن الرحيم” iaitu lafaz permulaan dengan nama Allah, Tuhan yang Maha pengasih dan maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya, dan hanya kepada Dia kita memohon pertolongan dan mengadu segala hal. Ar-rahman dan Ar-rahim adalah dua daripada nama2 dan sifat2 Nya yg diambil dari perkataan Ar-rahmah (Pemurah, penyayang, dan belas kasihan).
Hukum bacaan basmalah:
Sebagai hamba, kita diminta untuk membaca lafaz basmalah di dalam setiap bacaan pada semua surah al-quran, kecuali surah At-taubah. Dan disunatkan berbasmalah ketika hendak makan, minum, memakai pakaian, dan ketika melakukan semua pekerjaan.

TAFSIR
1)Dengan Nama Allah yang Maha pemurah, Maha pengasih, Maha penyayang, rujuk Basmalah.
2) Segala jenis pujian, kesyukuran, sama ada dari sifat, perbuatan dan segala2 kebesaran dan keagungan adalah untuk Allah s.w.t, tuhan yang tiada setandingnya yang mentadbir seluruh alam ini (alam yg nampak dengan mata kasar mahupun yang ghaib). Dialah Rabb seluruhnya yang mencipta dan memiliki seluruh alam ini dan sebagai hamba kita harus memuji keagungan Allah dengan berganda-ganda banyaknya.

3) Allah itu Maha pengasih, Maha penyayang dan Belas kasihanNya tidak terbatas. Dia memiliki sifat pemurah yang Maha  tinggi terhadap hambanya, Dan sentiasa melimpahkan rahmat kepada hamba-hambaNya di dunia malah sehingga ke hari qiamat.

4) Allah lah raja Kepada segala raja yang mempunyai kekuasaan dan kesultanan yg memberi segala perintah yang wajib di laksanakan, dan juga larangan yang wajib dijauhi dan segala-galanya adalah milik Nya. yang juga memiliki, menguasai, dan yang akan mengadili hari penghisaban/perhitungan (qiamat), hari dimana setiap jiwa tidak langsung tidak memiliki hatta jiwa masing-masing, Malah Allah lah tuhan yang tiada tandingan Yang Berkuasa melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya pada hari  perhitungan itu.
5) Sebagai hamba-Nya, Hanya kepada Allah kami mengabdikan diri, dan mentaatiNya dengan penuh kerendahan dalam mengagungkanNya, dan dengan penuh rasa cinta kepadaNya dalam melaksanakan perintahNya. Dan hanya kepada Allah sahaja kami memohon perlindungan, tempat kami bergantung dan kami mengharapkan segala harapan.

Dalam ayat 1-4 ini, Allah mengajar kita bagaimana kita memohon dan merayu kepadaNya agar mengerima doa dan permintaan kita, dengan banyak memuji kehebatan dan keagungan Nya dan sentiasa memuliakanNya. Serta juga beriltizam dalam melakukan perintahNya dan memberikan seluruh komitmen dan kesungguhan dalam menghambakan diri padaNya, tidak mensyirikkanNya dan tidak mengharapkan kepada sesiapa melainkan Dia lah Allah yang tiada sekutu baginya.
Di dalam hadith yang  diriwayatkan oleh Abu Daud, Tarmizi, dan An-Nasa’ie mafhumnya:
“Barangsiapa yang ingin memohon kepada Allah, maka hendaklah di mulai dengan puji-pujian kepadaNya, diikuti dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w, dan kemudian mohonlah apa-apa saja yang ingin di pinta”.
6)Tunjuk, pimpin, beri, dan kekalkanlah kami dengan hidayahMu (Allah) kepada jalan yang membawa kepada keredhaanMu, SyurgaMu, iaitu jalan agamaMu deen Islam yang lurus dan tiada bengkang bengkok didalamnya terhadap kebenaran, dan tiada  pemalingan didalamnya terhadap hidayahMu, dan kekalkanlah kami sehingga tidak terputus dari hidayahMu.
7) Iaitu jalan yang telah Allah tunjukkan kepada para Nabi, orang2 yang benar, para syuhada dan, para solehin, dan juga sesiapa saja yang Allah nikmatkan bagi mereka dengan keimanan dan makrifat kepadaNya dengan rasa penuh cinta dan tidak puas-puas padaNya, dan petunjuk di dalam melakukan perkara yang diperintah dan meninggalkan laranganNya. Tetapi bukanlah jalan yang Allah marah kepada meraka-meraka yang kufur dan melakukan penyelewengan di atas dunia ini seperti kaum Yahudi, dan bukanlah juga jalan orang  yang salah yang menyimpang dari jalan kebenaran iaitu yang menyembah selain Allah dan mengikut selain apa yang disyariatkan Nya seperti kaum Nasara.

Lafaz “Ameen”  bukanlah satu ayat dari surah Al-Faatihah. Tetapi ia adalah sunat dan dituntut seperti hadis  yang diriwayatkan oleh Ibn Majah mafhumnya: “adalah sekiranya Nabi s.a.w apabila selesai membaca [غير المغضوب عليهم ولا الضالين], baginda berkata ‘امين’ sehingga didengari oleh ahli barisan saff yang pertama, dan kemudiannya bergegarlah seluruh masjid dengannya (dgn ameen itu ramai-ramai)”.
Wallahu a’lam.