Khamis, 18 Mac 2010

Surah An Nashr

بسم الله الرحمن الرحيم
An-Nasr 
MUQADDIMAH
Surah Madaniyah ini mengandungi 3 ayat. An-Nasr bererti kemenangan, iaitu kemenangan yang dikurniakan Allah kepada nabiNya Muhammad s.a.w.  Dan ia diturunkan pada hari – hari akhir hayat Rasulullah s.a.w. Ia juga membawa alamat bahawa semakin hampirnya Nabi Muhammad s.a.w. kepada ajal baginda. Didalam Sahih Muslim, Abu Abbas meriwayatkan bahawa surah ini adalah surah terakhir yg turun dalam bentuk surah sekaligus (bukan dlm bentuk ayat demi ayat).

TAFSIR
1) Apabila telah datangnya untukmu ya Rasulullah s.a.w, kemenangan ke atas musuh-musuhmu di dalam setiap peperangan yang dihadapi olehmu, dan telah dibukakan Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah) oleh Allah kepadamu yang jadinya kota itu Darussalam (kota yang aman dan selamat dengan agama islam), yang mana sebelumnya adalah Darulkuffar (kota yg di jajahi dengan kekufuran).
2) Dan kamu melihat manusia (pada masa itu termasuk kaum-kaum dari Yaman dan negeri sekeliling Makkah) memeluk agama Islam secara beramai-ramai, kumpulan demi kumpulan, yang mana dahulunya memeluk Islam secara individu kerana takut, dan kamu melihat kejadian ini.
3) Maka bertasbih lah dengan memuji kesucian Tuhanmu (Allah) dan panjatkan kesyukuran kepadaNya di atas nikmat kemenangan, pembukaan kota, dan masuknya orang ramai kedalam agama Islam dan terhentinya agama kufur yang sesat, dan pohonlah dariNya keampunan supaya dileraikan dosa-dosa dari kamu dan dilengkapkan segala amalan kamu oleh Allah s.w.t, dan sesungguhnya Allah ta’ala yang memerintahkan kamu supaya memohon keampunan dariNya itu adalah maha pengampun, penyuci segala dosa, dan maha merahmati ke atas hamba-hambaNya.

PENUTUP
Sebagai hamba Allah, kita WAJIB sentiasa memanjatkan kesyukuran diatas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita tidak kira apa nikmat sekalipun, biarpun nikmat yang dirasakan besar, mahupun sekecil-kecil nikmat. Kita juga WAJIB sentiasa memohon keampunan kepada Allah, kerana kadang kala ada dosa yang dilakukan tanpa kita sedari. Dan kita juga WAJIB sentiasa memuji keagungan Allah yang maha pemurah melimpahkan rezekiNya kepada kita tanpa putus-putus, membantu kita di dalam menghadapi urusan dunia ini, dan Maha mengampuni dosa-dosa yang kita lakukan.

Wallahu a’lam bissawab..

Ahad, 14 Mac 2010

Surah al Masad

بسم الله الرحمن الرحيم
Al-Masad
MUQADDIMAH

Surah Al-masad adalah surah Makiyah, yang mengandungi 5ayat. Surah ini dinamakan Al-Masad yang bermakna  serat / sabut, yang terdapat pada akhir ayat dalam surah ini. Nama lain bagi surah ini juga adalah surah Tabbat (celaka).
Allah menurunkan surah ini adalah bagi membalas celaan Abu Lahab, bapa saudara baginda Muhammad s.a.w keatas baginda.
Ketika Nabi Muhammad diperintahkan oleh Allah untuk menyebarkan islam dan memberi peringatan kepada sahabat dan keluarga terdekat, baginda berdiri di atas bukit Safaa dan memerintahkan agar semua berkumpul. Setelah semua berkumpul, nabi berkata: “sesungguhnya aku menyampaikan kepada kamu amaran, di hadapan kalian ternanti azab yang sangat pedih. Katakanlah sesungguhnya tiada tuhan selain Allah… …”
Lalu bangun Abu Lahab dan berkata “adakah ini sebabnya kau kumpulkan kami semua? Celakalah engkau sepanjang hari”. Maka Allah menurunkan surah ini bagi membalas celaannya tadi.

TAFSIR
1) Celakalah iaitu rugi dan binasalah Abu Lahab dan binasalah segala apa yang dimiliki olehnya, dan Allah menegaskan lagi kecelakaan dan kebinasaan ke atas Abu Lahab dgn ulangan kalimah ‘وتبّ’ pada hujung ayat pertama ini.

2) Setelah Allah membinasakan dia dgn penyakit ngeri di dunia, Allah campakkan Abu Lahab ke dalam api neraka pula, yang mana di dalam neraka itu tidaklah bermanfaat apa yang dimiliki olehnya dari segala harta dan anak-anaknya yang tidak dapat mempertahankan Abu Lahab daripada azab Allah.
3) Maka ia di bakar dengan api neraka yang marak menyala, sehingga ia merasa kepanasan yang dahsyat dan jilatan api itu menghanguskan.
4) Dan bagi isterinya Ummu Jamil, yang telah meletakkan duri-duri pada jalan Nabi s.a.w ketika perginya baginda menunaikan solat subuh di Masjid, dan mengulang2 perbuatan itu untuk menyakiti baginda s.a.w. (ada yang mentafsir ‘حمالة ٱلحطَب’ sebagai pembawa kayu api, yakni kiasan bagi penyabar fitnah, yang mana Ummu Jamil selalu menyebar-nyebarkan fitnah bagi memburukkan Nabi Muhammad s.a.w. Wallahu a’lam)
5) Baginya siksaan dengan lilitan sabut /sarat yang dibuat dari api neraka yang di lilit-lilit pada lehernya.

TAULADAN

Allah telah membinasakan dan mematikan Abu Lahab dengan sejenis penyakit yang berbahaya, di mana penyakit ini amat ditakuti oleh kaum arab pada zaman itu seperti takutnya kepada wabak taun.  Kerana takut akan penyakit itu, Abu Lahab mati dalam keadaan terbiar dan tidak terurus mayatnya selama 3hari menyebabkan mayatnya reput dan berbau busuk.  Hinggakan anaknya sendiri hanya menyimbah air sekadar dari jauh bagi memandikan mayatnya itu, akibat takut dijangkiti.
Setelah di azab dgn penyakit di dunia, Allah mengazab pula Abu Lahab di akhirat dengan api neraka yang sangatlah dahsyat. Inilah pembalasan Allah kepada musuhNya dan musuh nabiNya. Balasan Allah tidak mengenal siapakah atau sehebat manakah individu itu, kerana bapa saudara nabi sendiri di azab Allah akibat kekufurannya.
Sekiranya Allah memurka seseorang, harta, anak-anak, kemewahan, pangkat, kuasa, dan apa saja yang dimilikinya di dunia ini tidak dapat menghalang atau menahan seseorang dari di azab di akhirat nanti. Na`uzubillahi min zalik.. Ya Allah Jauhkan dan hindarkanlah kami dari azab nerakaMu yang sangat pedih.. Ameen..

Wallahu a’lam.

Isnin, 8 Mac 2010

Surah Annas


بسم الله الرحمن الرحيم

Surah An-Naas

MUQADDIMAH

Surah ini (pun ana xpasti Makiyah atau Madaniyah. Sebab setahu ana, surah An-Naas Makiyah, tapi dalam kitab ni tulis Madaniyah. Dan rujuk beberapa Quran, ada kata makiyah, dan ada kata Madaniyah. Wallahu a’lam) Mengandungi 6ayat dan ia adalah surah pelindung yang ke dua selepas surah Al-Falaq.

Di dalam surah Al-Falaq ia melengkapkan 4 perkara bg memohon perlindungan iaitu;

a) Dari kejahatan semua makhluq

b) Dari kejahatan yang berlaku apabila gelapnya hari (malam)

c) Dari kejahatan tukang sihir yang melakukan kerja sihirnya

d) Dari kejahatan orang yang berhasad dengki, sekiranya dia berdengki.

Kesemua 4 sifat dalam surah Al-Falaq ini (untuk tafsiran lanjut, sila rujuk tafsir surah Al-Falaq) adalah perlindungan daripada pekara-perkara yang memudharatkan dan menyakiti (luaran fizikal).

Manakala dalam surah An-Naas pula ia adalah permohonan seorang hamba kepada Tuhannya supaya dilindung dari bahaya yang lebih merbahaya dari 4 perkara tadi, iaitu berkaitan dengan hati. Ini kerana sekira rosaknya hati maka rosaklah segala-galanya. Dan jika baiknya hati maka baiklah segala-galanya. Oleh itu surah An-Naas ini adalah khusus untuk perlindungan daripada kejahatan-kejahatan yg wujud dalam hati.

TAFSIR

1) Allah s.w.t memerintahkan Rasulnya s.a.w dan umat baginda (kita semua) supaya memohon diperkuatkan dan dilindungi, hanya kepada Tuhan sekalian manusia iaitu Pencipta manusia dan Raja bagi segala raja (Allah s.w.t ).

2) Dialah Tuhan, Raja, dan Hakim kepada manusia.

3) Dialah sembahan semua manusia yang satu-satunya dan tiada yang setanding dengannya yang layak disembah.

4) Minta dilindungi daripada kejahatan pembisik dan penghasut (syaitan) yang tersembunyi dan melalui hati manusia ketika mengingati Allah.

5) yang sentiasa membisikan hasutan didalam diri manusia, dan ia adalah suara yang sangat halus yang timbul dan tenggelam dan tidak dapat didengar ketika ia melemparkan hasutan kedalam dada manusia.

6) yang terdiri dari syaitan jin dan syaitan manusia.

Di dalam surah ini Allah memerintahkan manusia supaya memohon perlindungan hanya kepadaNya agar dilindung daripada penghasut atau pembisik iaitu syaitan. Syaitan sentiasa membisik dan melemparkan hasutan kedalam hati manusia, yang mana ia menakut-nakutkan, juga berupa syak wasangka yang buruk, atau mencantik-cantikkan perkara yang buruk, atau memburuk-burukkan perkara yang bagus. Syaitan selalunya akan menghasut manusia ketika mana mereka lupa pada Pencipta mereka. Dalam ayat ke 4, Allah menyebut “الخناس” yang bermakna yang timbul dan tenggelam. Ini adalah sifat bagi syaitan dari golongan jin yang akan tenggelam ataupun ghaib ketika manusia mengingati Allah, dan akan timbul ataupun datang semula berbisik ketika manusia lalai dan leka.

Selain itu terdapat juga syaitan dari golongan manusia sendiri. Mereka adalah golongan manusia yang bertindak seperti syaitan jin, yang melemparkan fitnah, yang menghasut manusia kepada kejahatan, mencampur adukkan perkara yang penting dengan yang merbahaya (dalam aqidah), yang menyebarkan kata-kata berbaur penyelewengan, dan juga setiap hasutan yang membawa kemudharatan dan kesesatan. Dikatakan bahawa kejahatan hasutan syaitan golongan manusia keatas manusia adalah lebih berbahaya dari hasutan syaitan berbentuk jin keatas manusia. Ini kerana syaitan dari golongan jin akan terlucut dari hati manusia dengan isti’azah dan seumpamanya, manakala syaitan dari golongan manusia tidak terlucut dengan itu.

Oleh itu, marilah sama-sama kita memohon dari Allah Raja dan Pencipta sekalian alam, agar dilindungi, dikuatkan dan dijauhkan daripada kejahatan bisikan-bisikan dan hasutan-hasutan syaitan dari golongan jin dan manusia.


Wallahu a’lam.