Rabu, 24 Februari 2010

al Falaq

بسم الله الرحمن الرحيم
Al-Falaq
MUQADDIMAH
Surah Al-Falaq adalah surah Madaniyah (Ana agak kurang pasti surah ini Makiyah atau Madaniyah sebab dalam kitab tafsir kata Madaniyah, tapi beberapa mushaf kata Makiyah. Dan ada juga mushaf yang Madaniyah. Wallahu a’lam). Ia mengandungi 5ayat, dan ia adalah surah yang pertama dalam dua surah pelindung, yang mana surah keduanya adalah surah An-Naas.

TAFSIR
1) Katakanlah wahai Muhammad s.a.w sesungguhnya aku memohon kekuatan dan perlindungan kepada Tuhan yang menguasai pagi iaitu Allah s.w.t  yang memagikan (memulakan pagi hari dengan) cinta dan intinya, yang mana tidak ada sesiapa pun yang mampu berbuat demikian melainkan Dia dengan keagungan kuasaNya dan kelausan pengetahuanNya.
2) Daripada kejahatan semua makhluq yang terdiri daripada manusia (dalam tafsir ini ditulis ‘haiwan yang mempunyai tanggung-jawab’), binatang (haiwan yang tidak mempunyai tanggung-jawab), dan juga segala objek dan benda-benda yang diciptakan Allah.
3) Dan juga dari kejahatan malam sekiranya datangnya gelap gelita dan juga bulan sekiranya ia hilang dan pergi dengan cahayanya, maka ia menjadi tanda kepada keluarnya ular-ular yang berbisa, binatang-binatang pemangsa, kelompok2 perompak dan mencuri, dan golongan-golongan yg melakukan kejahatan dan penyelewengan.

4) Dan aku berlindung kepada Allah dari kejahatan tukang-tukang sihir (didalam ayat ini mereka adalah tukang sihir perempuan) yang mengeluarkan angin dari mulut mereka (menghembus)  pada setiap ikatan dan simpulan sihir mereka dengan jampi-jampi.

5) Dan aku memohon kepada tuhan yang menguasai pagi agar dilindung daripada kejahatan orang-orang yang berhasad dengki yang menginginkan kemudharatan dan kejahatan atau yang meminta ditimpakan kecelakaan keatasku dengan kedengkiannya, kerana orang yang berhasad dengki akan meminta supaya dihilangkan nikmat dan diberikan kejahatan kepada orang yang dihasadinya.


TAULADAN
Diriwayatkan bahawa surah Al-Falaq ini diturunkan kerana suatu hari Nabi Muhammad s.a.w telah disihir oleh seorang yahudi bernama Labid bin Ma’sham di Madinah. Maka Allah menurunkan dua surah pelindung ini (Al-Falaq dan An-Naas), maka Malaikat Jibril telah berjampi dengannya, dan dengan izin Allah sembuhlah Nabi s.a.w dari sihir. Jadi perbanyakkan membaca surah ini, semoga Allah melindungi kita dari segala jenis kejahatan.

Wallahu a’lam..

Isnin, 22 Februari 2010

بسم الله الرحمن الرحيم


Al-Ikhlas


MUQADDIMAH


Surah Al-Ikhlas adalah surah Makiyah, dan ia mengandungi 4ayat. Surah ini menegaskan tentang keEsaan Allah s.w.t dan tiada suatupun yang setanding denganNya.


TAFSIR

1) Allah berfirman kepada nabi Muhammad s.a.w bahawa katakanlah kepada sesiapa yang bertanya kepadamu mengenai tuhan kamu, maka Dialah Allah tuhan yang maha Esa.

2) Tidak sepatutnya di abdikan diri melainkan hanya kepada Allah, Dialah tuhan tempat manusia bergantung dan meminta segala hajat dan keperluan yang berterusan (sampai bila-bila).

3) Dia tidak akan pupus, yakni Dia tidak melahirkan apa-apa malah Dialah yang mematikan setiap suatu yang akan punah dengan pastinya. Dia juga bukanlah menjadi ada dengan kejadian (atau kelahiran), yakni bukanlah Dia dari suatu yg tiada kepada ada, tetapi Dia dari awalnya memang Wujud dan akan kekal selama-lamanya.

4) Dan tidak ada satu pun yang serupa denganNya atau yang sepertiNya, yakni Dialah Allah yang Maha Esa dan tidak ada apa pun yang sama denganNya.

Allah menurunkan Surah barakah yang mempunyai 4ayat ini sebagai jawapan daripada soalan yang ditanya oleh kaum musyrikin kepada nabi Muhammad s.a.w mengenai tuhanmu, maka katakanlah kepada mereka bahawa Allah itu adalah tuhan yang tidak layak selainnya untuk dituhankan melainakan Dia, tuhan yang Satu dan Esa pada sifatnya, zatnya dan perbuatannya dan tidak ada yang sama dengannya didalam sifat, zat dan perbuatan. Dialah pencipta segala-galanya, dan memiliki seluruh semuanya, dan tidak ada makhluk yang berupaya mencipta sesuatu yg setanding ciptaanNya.


KELEBIHAN

Antara kelebihan bagi sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas ini adalah membaca 1 surah ini bersamaan dengan 1/3 al-Quran. Yakni pahala membaca 1 surah Al-ikhlas bersamaan dgn pahala membaca 1/3 alquran. Sebagaimana didalam hadith baginda s.a.w yang mafhumnya:

[Rasulullah s.a.w. bersabda kepada sahabat-sahabatnya: “Apakah seseorang di antara kamu semua akan merasa lemah (tidak kuat) untuk membaca sepertiga al-Quran dalam satu malam?”

Tentu saja hal itu dirasakan berat oleh sahabat dan mereka berkata: “Siapakah di antara kita semua yang kuat melakukan itu, ya Rasulullah?”

Kemudian baginda s.a.w. menjawab: “قل هو الله احد. الله الصمد adalah sepertiga al-Quran”]





Wallahu a’lam bissawab.

Isnin, 15 Februari 2010

Tafsir al Fatihah

بسم الله الرحمن الرحيم 
Surah Al-Faatihah


MUQADDIMAH

Surah Makiyah ini dinamakan Al-Faatihah yang bermakna pembuka bagi permulaan Al-Quran. Ia mempunyai beberapa nama lain seperti Ummul Quran, Ummul Kitab, dan As-Solah.  Surah ini mengandungi 7ayat dimulai dengan “بسم الله الرحمن الرحيم” sehingga habis.

Al-ISTI`AZAH

 Isti`azzah adalah lafaz “أعوذ بالله من الشيطان الرجيم” Yang membawa makna permintaan seorang hamba kepada Rabbnya supaya dilindungi dari segala cubaan dan diberi kekuatan dalam menghadapi hasutan dan bisikan syaitan yang di rejam, dan supaya dilindungi dari sebarang ketewasan dan ketidak tenangan. Hukum bacaan isti`azah adah sunat kepada sesiapa yg ingin membaca mana-mana ayat dari ayat Al-Quran ataupun surahnya. Ia juga diperlukan bagi org yang sedang marah, ataupun terlintas di fikirannya kejahatan supaya dilindungi.

BASMALAH
Basmalah adalah lafaz “بسم الله الرحمن الرحيم” iaitu lafaz permulaan dengan nama Allah, Tuhan yang Maha pengasih dan maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya, dan hanya kepada Dia kita memohon pertolongan dan mengadu segala hal. Ar-rahman dan Ar-rahim adalah dua daripada nama2 dan sifat2 Nya yg diambil dari perkataan Ar-rahmah (Pemurah, penyayang, dan belas kasihan).
Hukum bacaan basmalah:
Sebagai hamba, kita diminta untuk membaca lafaz basmalah di dalam setiap bacaan pada semua surah al-quran, kecuali surah At-taubah. Dan disunatkan berbasmalah ketika hendak makan, minum, memakai pakaian, dan ketika melakukan semua pekerjaan.

TAFSIR
1)Dengan Nama Allah yang Maha pemurah, Maha pengasih, Maha penyayang, rujuk Basmalah.
2) Segala jenis pujian, kesyukuran, sama ada dari sifat, perbuatan dan segala2 kebesaran dan keagungan adalah untuk Allah s.w.t, tuhan yang tiada setandingnya yang mentadbir seluruh alam ini (alam yg nampak dengan mata kasar mahupun yang ghaib). Dialah Rabb seluruhnya yang mencipta dan memiliki seluruh alam ini dan sebagai hamba kita harus memuji keagungan Allah dengan berganda-ganda banyaknya.

3) Allah itu Maha pengasih, Maha penyayang dan Belas kasihanNya tidak terbatas. Dia memiliki sifat pemurah yang Maha  tinggi terhadap hambanya, Dan sentiasa melimpahkan rahmat kepada hamba-hambaNya di dunia malah sehingga ke hari qiamat.

4) Allah lah raja Kepada segala raja yang mempunyai kekuasaan dan kesultanan yg memberi segala perintah yang wajib di laksanakan, dan juga larangan yang wajib dijauhi dan segala-galanya adalah milik Nya. yang juga memiliki, menguasai, dan yang akan mengadili hari penghisaban/perhitungan (qiamat), hari dimana setiap jiwa tidak langsung tidak memiliki hatta jiwa masing-masing, Malah Allah lah tuhan yang tiada tandingan Yang Berkuasa melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya pada hari  perhitungan itu.
5) Sebagai hamba-Nya, Hanya kepada Allah kami mengabdikan diri, dan mentaatiNya dengan penuh kerendahan dalam mengagungkanNya, dan dengan penuh rasa cinta kepadaNya dalam melaksanakan perintahNya. Dan hanya kepada Allah sahaja kami memohon perlindungan, tempat kami bergantung dan kami mengharapkan segala harapan.

Dalam ayat 1-4 ini, Allah mengajar kita bagaimana kita memohon dan merayu kepadaNya agar mengerima doa dan permintaan kita, dengan banyak memuji kehebatan dan keagungan Nya dan sentiasa memuliakanNya. Serta juga beriltizam dalam melakukan perintahNya dan memberikan seluruh komitmen dan kesungguhan dalam menghambakan diri padaNya, tidak mensyirikkanNya dan tidak mengharapkan kepada sesiapa melainkan Dia lah Allah yang tiada sekutu baginya.
Di dalam hadith yang  diriwayatkan oleh Abu Daud, Tarmizi, dan An-Nasa’ie mafhumnya:
“Barangsiapa yang ingin memohon kepada Allah, maka hendaklah di mulai dengan puji-pujian kepadaNya, diikuti dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w, dan kemudian mohonlah apa-apa saja yang ingin di pinta”.
6)Tunjuk, pimpin, beri, dan kekalkanlah kami dengan hidayahMu (Allah) kepada jalan yang membawa kepada keredhaanMu, SyurgaMu, iaitu jalan agamaMu deen Islam yang lurus dan tiada bengkang bengkok didalamnya terhadap kebenaran, dan tiada  pemalingan didalamnya terhadap hidayahMu, dan kekalkanlah kami sehingga tidak terputus dari hidayahMu.
7) Iaitu jalan yang telah Allah tunjukkan kepada para Nabi, orang2 yang benar, para syuhada dan, para solehin, dan juga sesiapa saja yang Allah nikmatkan bagi mereka dengan keimanan dan makrifat kepadaNya dengan rasa penuh cinta dan tidak puas-puas padaNya, dan petunjuk di dalam melakukan perkara yang diperintah dan meninggalkan laranganNya. Tetapi bukanlah jalan yang Allah marah kepada meraka-meraka yang kufur dan melakukan penyelewengan di atas dunia ini seperti kaum Yahudi, dan bukanlah juga jalan orang  yang salah yang menyimpang dari jalan kebenaran iaitu yang menyembah selain Allah dan mengikut selain apa yang disyariatkan Nya seperti kaum Nasara.

Lafaz “Ameen”  bukanlah satu ayat dari surah Al-Faatihah. Tetapi ia adalah sunat dan dituntut seperti hadis  yang diriwayatkan oleh Ibn Majah mafhumnya: “adalah sekiranya Nabi s.a.w apabila selesai membaca [غير المغضوب عليهم ولا الضالين], baginda berkata ‘امين’ sehingga didengari oleh ahli barisan saff yang pertama, dan kemudiannya bergegarlah seluruh masjid dengannya (dgn ameen itu ramai-ramai)”.
Wallahu a’lam.