Isnin, 8 Mac 2010

Surah Annas


بسم الله الرحمن الرحيم

Surah An-Naas

MUQADDIMAH

Surah ini (pun ana xpasti Makiyah atau Madaniyah. Sebab setahu ana, surah An-Naas Makiyah, tapi dalam kitab ni tulis Madaniyah. Dan rujuk beberapa Quran, ada kata makiyah, dan ada kata Madaniyah. Wallahu a’lam) Mengandungi 6ayat dan ia adalah surah pelindung yang ke dua selepas surah Al-Falaq.

Di dalam surah Al-Falaq ia melengkapkan 4 perkara bg memohon perlindungan iaitu;

a) Dari kejahatan semua makhluq

b) Dari kejahatan yang berlaku apabila gelapnya hari (malam)

c) Dari kejahatan tukang sihir yang melakukan kerja sihirnya

d) Dari kejahatan orang yang berhasad dengki, sekiranya dia berdengki.

Kesemua 4 sifat dalam surah Al-Falaq ini (untuk tafsiran lanjut, sila rujuk tafsir surah Al-Falaq) adalah perlindungan daripada pekara-perkara yang memudharatkan dan menyakiti (luaran fizikal).

Manakala dalam surah An-Naas pula ia adalah permohonan seorang hamba kepada Tuhannya supaya dilindung dari bahaya yang lebih merbahaya dari 4 perkara tadi, iaitu berkaitan dengan hati. Ini kerana sekira rosaknya hati maka rosaklah segala-galanya. Dan jika baiknya hati maka baiklah segala-galanya. Oleh itu surah An-Naas ini adalah khusus untuk perlindungan daripada kejahatan-kejahatan yg wujud dalam hati.

TAFSIR

1) Allah s.w.t memerintahkan Rasulnya s.a.w dan umat baginda (kita semua) supaya memohon diperkuatkan dan dilindungi, hanya kepada Tuhan sekalian manusia iaitu Pencipta manusia dan Raja bagi segala raja (Allah s.w.t ).

2) Dialah Tuhan, Raja, dan Hakim kepada manusia.

3) Dialah sembahan semua manusia yang satu-satunya dan tiada yang setanding dengannya yang layak disembah.

4) Minta dilindungi daripada kejahatan pembisik dan penghasut (syaitan) yang tersembunyi dan melalui hati manusia ketika mengingati Allah.

5) yang sentiasa membisikan hasutan didalam diri manusia, dan ia adalah suara yang sangat halus yang timbul dan tenggelam dan tidak dapat didengar ketika ia melemparkan hasutan kedalam dada manusia.

6) yang terdiri dari syaitan jin dan syaitan manusia.

Di dalam surah ini Allah memerintahkan manusia supaya memohon perlindungan hanya kepadaNya agar dilindung daripada penghasut atau pembisik iaitu syaitan. Syaitan sentiasa membisik dan melemparkan hasutan kedalam hati manusia, yang mana ia menakut-nakutkan, juga berupa syak wasangka yang buruk, atau mencantik-cantikkan perkara yang buruk, atau memburuk-burukkan perkara yang bagus. Syaitan selalunya akan menghasut manusia ketika mana mereka lupa pada Pencipta mereka. Dalam ayat ke 4, Allah menyebut “الخناس” yang bermakna yang timbul dan tenggelam. Ini adalah sifat bagi syaitan dari golongan jin yang akan tenggelam ataupun ghaib ketika manusia mengingati Allah, dan akan timbul ataupun datang semula berbisik ketika manusia lalai dan leka.

Selain itu terdapat juga syaitan dari golongan manusia sendiri. Mereka adalah golongan manusia yang bertindak seperti syaitan jin, yang melemparkan fitnah, yang menghasut manusia kepada kejahatan, mencampur adukkan perkara yang penting dengan yang merbahaya (dalam aqidah), yang menyebarkan kata-kata berbaur penyelewengan, dan juga setiap hasutan yang membawa kemudharatan dan kesesatan. Dikatakan bahawa kejahatan hasutan syaitan golongan manusia keatas manusia adalah lebih berbahaya dari hasutan syaitan berbentuk jin keatas manusia. Ini kerana syaitan dari golongan jin akan terlucut dari hati manusia dengan isti’azah dan seumpamanya, manakala syaitan dari golongan manusia tidak terlucut dengan itu.

Oleh itu, marilah sama-sama kita memohon dari Allah Raja dan Pencipta sekalian alam, agar dilindungi, dikuatkan dan dijauhkan daripada kejahatan bisikan-bisikan dan hasutan-hasutan syaitan dari golongan jin dan manusia.


Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan